Kurma dari Kota Madinah Munawarah |
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebutkan kelebihan dan keutamaan kurma. Antara lain Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” – (Surah Maryam, ayat 25).
Allah memerintahkan Siti Maryam untuk menggegarkan batang pokok kurma ketika melahirkan anaknya, Nabi Isa as. Tanpa seorang pun yang membantunya, air mengalir di sisinya. Air itu kemudian diambil dan diminumnya sebagai ganti cairan tubuh yang hilang ketika melahirkan Nabi Isa as.
Firaun juga memilih batang kurma untuk menyalib orang yang beriman kepada Tuhan Musa dan Harun sebagai azab bagi mereka kerana kekuatan dan kekukuhan yang ada pada pokok itu. Penyihir itu berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.” (Surah Taaha, ayat 70).
Mengenai kurma sebagai buah yang berkat, Rasulullah SAW mewasiatkan kepada umatnya untuk memakannya ketika berbuka puasa.
Daripada Salman Ibnu Amir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu akan berbuka puasa, maka berbukalah dengan kurma sebab kurma itu berkat, kalau tiada, dengan air kerana air itu bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Daripada Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa rothab (kurma mekar yang dipetik dari pohonnya) sebelum bersolat (Maghrib). Kalau tidak ada rothab, maka dengan beberapa kurma matang (kering), kalau tidak ada, maka dengan beberapa teguk air.”(Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Tidak diragukan lagi bahawa di sebalik sunnah Nabi SAW ini, ada petunjuk perubatan dan manfaat yang banyak bagi kesihatan dan hukum yang elok dan bagus untuk manusia. Rasulullah SAW telah memilih makanan ini (kurma) atau tamar dan tidak memilih yang lainnya kerana adanya manfaat yang sangat besar dan mulia.
Dalam hadis juga disebutkan keutamaan tamar atau kurma itu. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Rumah yang tidak memiliki kurma adalah rumah yang penghuninya sentiasa berasa lapar.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tamar itu menghilangkan penyakit dan tidak ada penyakit di dalamnya kerana ia adalah tanaman dari syurga yang boleh dijadikan sebagai ubat.”
Sa’ad RA berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah (kurma Nabi), maka akan terhindar daripada racun dan sihir.”(Hadis riwayat Bukhari)
Ibnu Qaiyyim dalam kitabnya Zaadul Ma’ad berkata: “Kurma ialah buah-buahan yang sangat sesuai untuk mengisi perut yang kosong dan mampu memberi tenaga bagi tubuh. Kurma juga buah yang bermutu tinggi dan bermanfaat bagi kesihatan hati manusia dan dapat menghaluskan tabiat manusia yang kasar.”
Satu kajian dilakukan untuk mengetahui kandungan kimia dan biologis dalam kurma. Kajian itu berkesimpulan bahawa, setiap bahagian kurma yang dimakan mengandungi kandungan zat gula 70-75 peratus, 2-3 peratus protein, 5-8 peratus serat dan sedikit kandungan lemak. Selain itu, dalam penelitian perubatan juga didapati bahawa kurma mengandungi 65-70 peratus air jernih, 24-58 peratus zat gula, 2-2.1 peratus protein, 5.2 peratus serat dan sangat sedikit kandungan lemak.
P/S: Hati-hati dengan kurma keluaran Israel, Jordan River yang banyak dijual di pasaran.
Sumber: http://www.islamituindah.my
2 comments:
Alhamdulillah, kakpb suka sgt kurma hinggakan mcm mkn buah biasa. Sayangnya anak kakpb tak suka, sedangkan dr kecil dah ajar mkn kismis. Susah betul budak2 skrg.
Dulu pun saya tak berapa suka dengan buah kurma, tetapi apabila mengetahui kurma adalah makanan baginda Rasulallah saya pun memaksa diri untuk makan dan akhirnya jadi suka terutamanya kurma yang dibeli dari Madinah... kerana Allah janji bahawa segala apa yang dibeli di Madinah ada keberkatannya.
Post a Comment