30 July 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - Perasmian Victoria Institution

Pada hari ini dalam tahun 1894, Victoria Institution yang terletak di High Street, Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Encik Bennet Eyre Shaw iaitu guru besar pertama sekolah itu. 

Victoria Institution yang merupakan sekolah Inggeris kedua di Selangor mula dibuka pada tahun 1893. la dibina di atas tanah seluas 8 ekar dengan kos sebanyak $11,500, hasil kutipan wang orang ramai sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Queen Victoria pada tahun 1887 dan sumbangan-sumbangan dari beberapa orang kenamaan ternasuklah Sultan Abdul Samad. 

Bangunan sekolah itu mempunyai satu blok bangunan sekolah dan sebuah rumah kediaman guru besar. Tujuan penubuhan sekolah tersebut adalah untuk memberi pendidikan Inggeris kepada anak-anak tempatan bagi menjawat jawatan pegawai rendah dalam pentadbiran negeri Selangor. Sebelum berpindah ke bangunan baru, seramai 36 orang pelajar dan tiga orang guru sekolah itu telah ditempatkan buat sementara waktu di bangunan ‘Government English School'. Apabila Victoria Institution dibuka, pelajar-pelajarnya telah dikenakan yuran bulanan sebanyak $1 dan semua pelajar dari semua bangsa telah diterima masuk ke sekolah itu. Pada peringkat awal sekolah tersebut mempunyai kelas-kelas darjah I hingga VI dan antara mata pelajaran yang diajar adalah Bahasa Inggeris, Elementery Science, Lukisan dan pelajaran teknikal. Sesungguhnya penubuhan dan pembinaan sekolah itu telah membantu dan memberi peluang kepada anak-anak tempatan mengikuti pelajaran Inggeris di mana tahap pencapaiannya amat membanggakan.

Sumber : Arkib Negara

No comments: