Jabal Abi Qubais disebut dalam as-Sirah an-Nabawiyah (buku pertama tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w) sebagai tempat yang biasa diziarahi orang-orang pada masa Jahiliah. Pada masa Islam, Jabal Qubais ini hanya disebut dalam hubungannya dengan penduduk Mekah, termasuk Abu Quhafah (ayah Abu Bakar As-Siddiq), yang naik ke bukit ini dan tempat-tempat tinggi lainnya untuk melihat dan menyaksikan pasukan Islam yang memasuki Mekah pada hari penaklukan Mekah.
Dalam al-Munjid (Penolong) karangan Louis Ma’luf disebutkan bahawa Jabal Abu Qubais pernah dijadikan tempat pelontaran manjaniq (alat pelontar batu dalam peperangan) oleh Hasin bin Numayr untuk dihalakan kepada pasukan Abdullah bin Zubair yang bertahan di Kaabah. Tembakan dengan manjaniq ini menyebabkan terbakarnya tirai atau kiswah Kaa’bah.
Cerita-cerita yang disebutkan dalam as-Sirah an-Nabawiyah dan Hayat Muhammad (Kehidupan Nabi s.a.w) oleh Dr. Heikal mengenai Jabal Abu Qubais pada umumnya dihubungkan dengan riwayat Muhammad s.a.w sebelum diangkat menjadi Rasul. Disebutkan pula, bahawa nama bukit itu diambil daripada nama seorang penduduk daripada Bani Jurhum, iaitu Qubais bin Syalikh, yang tewas di atas jabal (gunung) itu.
Dalam hubungannya dengan Nabi s.a.w, disebutkan bahawa ia pernah dibawa oleh datuknya Abdul Mutalib ke puncak Jabal Qubais untuk berdoa memohon hujan. Nabi s.a.w pada waktu itu masih kecil dan Mekah dilanda kemarau panjang. Seorang wanita, Raqiqah binti Abi Saifi bin Hasyim, dalam tidurnya bermimpi mendengar suara yang mengatakan bahawa dari kalangan kaum Quraisy akan muncul seorang Nabi.
Suara dalam mimpi itu juga memberinya petunjuk bagaimana cara meminta hujan agar dikabulkan Tuhan, iaitu penduduk harus meminta pemimpin mereka (Abdul Mutalib) agar membawa cucunya dan beberapa orang penduduk untuk berdoa bersama-sama. Terlebih dahulu mereka harus bersuci, mencium Hajar Aswad (batu hitam pada Kaabah) dan bertawaf sebanyak tujuh kali.
Peristiwa lain yang dihubungkan dengan Jabal Qubais adalah peristiwa Hilf al-Fudul. Seorang pemuda daripada Bani Zubaid dizalimi oleh Asif bin Wail, bangsawan Mekah, yang tidak mahu membayar harga barang dagangan yang dibawa pemuda itu. Orang ini mendatangi beberapa pemuda Quraisy untuk meminta pertolongan tetapi tidak ada seorang pun yang bersedia menolongnya.
Kerana kecewa, keesokan paginya ia naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan meneriakkan keluhannya bahawa dia dizalimi dan berharap ada orang yang dapat menolongnya menghadapi orang yang menzaliminya. Seruan orang itu disambut oleh Zubair bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi s.a.w. Ia lalu memanggil tokoh-tokoh Bani Hasyim dan mengadakan perjumpaan di rumah Ibnu Jud’an yang membuahkan perjanjian Hilf al-Fudul yang bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap Asif bin Wail, sehingga ia membayar harga barang yang dibelinya daripada orang yang mengadu itu.
Jabal Abu Qubais juga muncul dalam mimpi Atiqah binti Abdul Mutalib di Mekah, tiga hari sebelum meletusnya Perang Badar. Dia bermimpi melihat seorang penunggang unta datang ke Mekah, kemudian masuk ke Masjidil Haram dengan diikuti orang ramai dan naik ke bumbung Kaabah serta berteriak memperingatkan penduduk akan datangnya bencana tiga hari kemudian.
Dari situ, dia turun dan naik ke Jabal Abu Qubais. Di puncak bukit itu, dia kembali memperingatkan orang ramai akan datangnya musibah. Setelah itu, dia mengambil batu besar dan melemparkannya. Setelah sampai ke bawah Jabal Abu Qubais, batu itu terpecah-pecah menjadi pecahan kecil yang bergerak memasuki semua rumah di Mekah.
Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. melaksanakan umrah setahun setelah perjanjian Hudaibiah, banyak penduduk Mekah yang naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan tempat-tempat tinggi yang lainnya untuk menyaksikan Nabi s.a.w dan sekitar dua ribu orang pengikut baginda melaksanakan umrah.
Di timur Baitullah, jika kita membelakangkan hajarul aswad yang mulia, akan terpandanglah kita sebuah istana megah berdiri atas sebuah bukit yang telah ditarah habis. Bukit yang telah diperkosa sedemikian rupa, itulah Jabal Abi Qubais yang mempunyai sejarah berkait rapat dengan sejarah Baitullah dan Kota Makkah al-Mukarramah. Jabal Abi Qubais atau lebih masyhur di lidah orang kita sebagai Jabal Qubais atau orang kampung aku panggil "Jabal Kobes", dahulunya mencapai ketinggian 420 meter. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Jabal Abi Qubais inilah seawal-awal gunung/ bukit yang dicipta Allah atas muka bumi ini. Imam as-Sayuthi rhm. meriwayatkan dalam "al-Wasaa-il fi Musaamiratil Awaa-il" halaman 6 menulis:-
" Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu 'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`".
Banyak peristiwa bersejarah berkait dengan Jabal Abi Qubais. Jabal Abi Qubais dikenali juga sebagai Jabal al-Amin (bukit kepercayaan / bukit penyimpan amanah), kerana Allah telah mengamanahkan hajarul aswad dalam simpanannya pada waktu taufan dan bah zaman Nabi Nuh a.s. Tatkala Nabi Ibrahim membina semula Baitullah, maka Jabal Abi Qubais mengeluarkan kembali hajarul aswad lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:- "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 -)
Tafsir Pimpinan ar-Rahman menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman kepada baginda: "Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji."
Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu, diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.
Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa mukjizat Junjungan s.a.w. membelah bulan berlaku di Jabal Abi Qubais, di mana setelah diminta oleh kaum musyrikin Makkah agar Junjungan Nabi s.a.w. memperlihatkan satu mukjizat, maka baginda dengan tunjukan jari baginda yang mulia telah membelah bulan menjadi dua belahan, sehingga disaksikan oleh kaum musyrikin Makkah bahawa bulan benar-benar terbelah dua, satu belahan di atas Jabal Qubais, manakala belahan keduanya pergi ke Jabal Qu`ayqa`aan (Jabal Qiiqa`aan atau Jabal Hindi).
Selain peristiwa tersebut, sebahagian mufassir juga menceritakan bahawa tatkala turun firman Allah s.w.t yang kira-kira bererti:- "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat." (asy-Syu`araa`: 214 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), yang memerintahkan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabat baginda, maka Junjungan Nabi s.a.w. membuat seruan tersebut dari Jabal Abi Qubais Ini adalah mengikut riwayat sebahagian mufassir, manakala sebahagian lain menyatakan baginda melakukan seruan dakwah tersebut dari Bukit Shofa. Kedua-dua riwayat ini tidaklah bercanggah kerana Jabal Shofa tempat memulakan ibadah sa`ie, terletak di hujung Jabal Abi Qubais dan merupakan sebahagian daripada jajaran Jabal Abi Qubais, manakala Jabal Marwah berada di permulaan jajaran Jabal Qiiqa`aan / Jabal Qu`ayqa`aan / Jabal Hindi.
Berbalik kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s. membuat seruannya agar umat manusia menunaikan haji dari atas Jabal Abi Qubais, maka dahulu ramai orang naik ke atasnya untuk berbuat sedemikian kerana mengambil sempena.
Dahulu di atas puncak bukit tersebut ada sebuah masjid kecil yang dinamakan Masjid Bilal. Menurut cerita sesetengah orang, masjid tersebut dibina atas tapak di mana Nabi Ibrahim membuat seruan baginda tersebut. Oleh itu, maka sebagai menelusuri jejak sejarah dan mengambil sempena, manusia datang menziarahi masjid tersebut untuk "melambai", yakni berdoa agar ahli keluarga dan rakan taulan yang belum berkesempatan datang ke Baitullah diberi peluang untuk ke sana.
Alhamdulillah, musim haji tahun 1974, aku sempat menaiki Jabal Abi Qubais dan menziarahi masjid tersebut dan memang Baitullah nampak dengan jelas dari sana. Sekarang, semua ini sudah tidak ada lagi, kerana kini tiada lagi rumah, tiada lagi rubath, tiada lagi masjid atas Jabal Abi Qubais, yang ada hanyalah istana mewah keluarga Sa`ud....Allahu .... Allah.
Pemusnahan dan penjarahan tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci hingga kini berterusan atas nama pembangunan dan pemodenan. Tidak mustahil satu hari di masa hadapan, masjid agung Makkah ini akan dikelilingi bangunan - bangunan moden pencakar langit kerana sekarang pun telah ada pencakar langit berupa hotel mewah bersebelahan Masjidil Haram yang mulia.
Harap-harap janganlah berlaku di masa hadapan di mana jika bukan kerana Masjidil Haram, Baitullah, dan suasana ibadah, manusia merasakan dirinya berada di Kota New York yang penuh pencakar langit (kata orang le...sebab aku belum pernah lagi ke New York). Mudah-mudahan segala tempat bersejarah ini tetap dikenang dan dikenali umat.
Amat menyedihkan apabila tinggalan sejarah islam dihapus untuk pembangunan, tidak terfikirkah pemerintah untuk memeliharanya, dimana ulama ulama tersohor tidak menyuarakan pandangan mereka, apakah mereka takut untuk membela peninggalan kesan sejarah islam ini?
Sejarah ini bukan sahaja pada zaman Rasulullah S.A.W malahan kesan sejarah para para nabi mulia sebelumnya, patutlah pemerintah arab saudi langsung tak kisah kalau israel menjarah masjidil aqsa sebab mereka ni 2 kali 5 juga. Aku rasa pemerintah arab saudi ni mengikut telunjuk penasihat dari US agar umat islam mudah lupa tentang sejarah keagungan islam lampau, akhirnya generasi akan datang langsung tidak mengetahui mengenai sejarah ini.
Sumber: http://www.lamankongsi.com
No comments:
Post a Comment