13 February 2013

Peluk Islam jadi mahar perkahwinan

Seperti kebiasaan bangsawan kaumnya, Abu Talha al-Ansari juga pernah mempunyai patung sembahan peribadinya yang diperbuat daripada kayu terbaik dan mahal. Namun, akhirnya patung kayu itu dimusnahkan apabila beliau memeluk Islam.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak mudah dilakukan, tetapi demi kasihnya kepada Ummu Sulaim, wanita baik, cerdas dan memiliki sifat kewanitaan sempurna, beliau dengan rela hati memeluk Islam sebagai mahar untuk Ummu Sulaim.

Mendengar mengenai mahar perkahwinan itu, kaum Muslimin berkata: “Belum pernah kami dengar mahar kahwin yang lebih mahal daripada mahar Ummu Sulaim. Maharnya masuk Islam.”

Sejak memeluk Islam, Abu Talha berada di bawah naungan bendera Islam. Segala daya upaya yang ada padanya dikorbankan untuk berkhidmat kepada Islam. Beliau dan isterinya Ummu Sulaim adalah antara kumpulan 70 yang bersumpah setia (baiah) kepada Rasulullah SAW di Aqabah.

Sertai setiap peperangan

Abu Talhah ikut bersama berperang dengan Rasulullah SAW dalam setiap peperangan yang dipimpin Baginda. Pada setiap peperangan, beliau banyak mendapat cubaan yang mulia dan paling mulia ialah dalam Perang Uhud.

Abu Talha mencintai Rasulullah SAW sepenuh hati sehingga dia tidak pernah bosan menatap dan mendengar hadis Baginda yang terasa manis baginya.

Beliau berkata kepada Rasulullah SAW: “Inilah diriku, kujadikan tebusan bagi diri tuan dan wajahku pengganti wajah tuan.”

Ketika Perang Uhud, apabila keadaan bertukar kucar-kacir dan Rasulullah SAW berjaya dicederakan pihak musuh, hanya tinggal beberapa tentera Muslimin mengawal melindungi Rasulullah SAW dan antaranya Abu Talhah.

Beliau berdiri di depan Baginda ibarat bukit yang melindungi dan tangannya tidak henti melepaskan anak panah yang tepat mengenai musuh. Tiga batang busur panah patah olehnya, tetapi beliau berjaya menjaga Nabi yang diselamatkan dengan izin Allah.

Meninggal ketika puasa, berperang

Abu Talhah amat pemurah dengan nyawanya berperang pada jalan Allah dan beliau lebih pemurah dengan hartanya yang dikorbankan untuk agama Allah. Abu Talhah sering berpuasa dan berperang, bahkan beliau meninggal dunia ketika berpuasa serta berperang.

Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, kaum Muslimin bertekad berperang di lautan. Abu Talhah turut serta walaupun usianya ketika itu sudah tua dan menolak permintaan anaknya supaya beliau tidak ikut serta.

Abu Talha menemui Penciptanya ketika berada di atas kapal dan kaum Muslimin mencari daratan untuk pengebumiannya. Hanya selepas enam hari baru mereka menemui daratan dan ketika hendak dikebumikan, jenazahnya tidak berubah sedikit pun ibarat sedang tidur nyenyak.

Sumber: Diubah suai daripada buku 100 Pahlawan Syurga (jilid 2) dari Berita Harian.

No comments: