Salah satu amalan yang dapat mengukuhkan 'muraqabah' ialah mengingati Allah atau zikrullah. Dalam Al-Quran antara golongan yang amat dipuji oleh Allah ialah golongan yang banyak berzikrullah.
Dalam Surah Al-Ahzab ayat 35 Allah berfirman; "dan golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada allah, allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar." Golongan ini kadangkala digelar oleh Nabi sebagai Al-Mufarridun berpandukan sebuah hadis yang terdapat dalam sahih Muslim yang bermaksud, "Golongan Al-Mufarridun Akan Mendahului". Sahabat-sahabat bertanya, "Siapakah mereka yang mufarridun itu ya Rasulullah?" Bersabda Nabi, "lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah."
Apakah yang perlu kita lakukan untuk tergolong dalam golongan ini? Mengikut Imam Mujahid, "dengan sentiasa mengingati Allah ketika sedang berdiri, duduk dan berbaring." Kadar zikir yang paling minimum yang perlu kita lakukan ialah melaksanakan solat dengan penuh kusyuk dan rendah hati seperti yang disebutkan oleh Imam Atha, "sesiapa yang melaksanakan solat yang lima dengan melaksanakan segala hak-haknya, dia tergolong dalam golongan lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah."
Zikrullah yang terbaik ialah yang dilakukan dengan hati dan lidah. Namun jika hendak dipilih diantara kedua-duanya, zikir dengan hati adalah pilihan yang lebih baik. Secara dasarnya zikrullah dengan hati dan lidah dapat dilakukan dalam hampir semua keadaan. Imam Nawawi dalam Al-Azhar berkata, "Telah ijmak ulama tentang keharusan berzikir dengan hati dan lidah bagi semua orang termasuk mereka yang berhadas, yang berjunub, yang haid dan yang mengalami nifas, tidak kira sama ada zikirnya berbentuk tahlil, tahmid, takbir, selawat, doa dan yang seumpamanya, kecuali membaca Al-Quran. Ia diharamkan ke atas mereka yang berjunub, mengalami haid dan nifas.
Namun mereka masih boleh membaca Al-Quran dihati dan mereka juga boleh melihat mashaf ketika melakukannya. Walau bagaimanapun, kalimat-kalimat dari Al-Quran yang menjadi amalan harian boleh terus disebutkan ketika berjunub, mengalami haid dan nifas, sebagai contoh, Bismillah, kalimat syukur, doa-doa Al-Quran dan yang seumpamanya. Walau bagaimanapun ketika melafazkannya, mereka yang berkenaan hendaklah berniat bahawa mereka melakukannya untuk berzikir dan berdoa."
Apabila zikrullah menyinari hati, 'muraqabah' akan hidup dan bergemerlapan dalam diri seseorang. Ia akan menjadikan seseorang itu jujur dan beramanah dimana saja dia berada walau pun ketika itu dia berpeluang untuk mengaut keuntungan secara yang salah tanpa dapat dikesan oleh sesiapa pun.
Pada tahun 1967 Profesor Dr. Herbert Benson dari Fakulti> Perubatan HARVARD, membuat kajian ke atas 36 orang yang bermeditasi. Beliau mendapati mereka menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa, jantung mereka berdenyut dengan kadar yang juga lebih rendah daripada biasa, dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya. Gelombang theta ialah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena. Dalam buku beliau, The Relaxation Response, Dr. Herbert Benson menyatakan meditasi mampu mengawal tekanan dan menjadikan seseorang lebih tenang lagi ceria.
Beberapa tahun selepas itu kajian susulan dibuat oleh pakar psikiatri, Dr. Gregg Jacobs, juga dari Fakulti Perubatan HARVARD. Beliau mendapati ketika bermeditasi aktiviti di loba otak bahagian frontal (iaitu bahagian yang berkaitan dengan perancangan, perasaan dan kesedaran) menjadi tidak aktif dan aktiviti di loba parietal (iaitu bahagian yang menerima maklumat dari luar disamping memberi kesedaran tentang masa dan ruang) berkurangan. Ketika itu otak menjadi pasif dan mereka yang bermeditasi berasa seolah-olahnya sedang bersatu dengan alam semesta. Majalah The Times bertarikh 4 Ogos, 2003 melaporkan beberapa kajian menunjukkan meditasi meningkatkan sistem pertahanan badan. Peningkatan ini mampu mencegah seseorang dari pelbagai serangan kuman. Malah salah satu kajian itu menunjukkan sel-sel anti-kanser payudara meningkat selepas bermeditasi.
Penemuan-penemuan ini merangsang ramai orang di Barat, termasuk para intelek dan ahli-ahli korporat, untuk melakukan meditasi dari masa ke semasa. Victor Davich dalam bukunya 'Eight Minutes That Will Change Your Life' mencadangkan agar setiap individu bermeditasi selama 8 minit setiap hari untuk mencapai kesejahteraan dalam hidupnya.
Solat serta zikir dan khusyuk boleh di ibaratkan seperti meditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya, dalam solat dan zikir yang dilakukan secara khusyuk memang terdapat unsur-unsur meditasi, tetapi ia berbeza dengan meditasi biasa kerana solat dan zikir yang dilakukan oleh umat Islam ialah satu ibadah. Kalimat-kalimat zikir yang disebutkan adalah pilihan Allah dan Rasul, bukannya pilihan manusia biasa, dan ketenangan yang bakal diperolehi adalah ketenangan kurniaan Allah.
No comments:
Post a Comment