01 January 2014

Pencerahan Tentang Benarkah Saidina Umar Al Khattab Bunuh Anak Perempuannya

Ada beberapa buah buku yang disebarkan dengan agak meluas dalam masyarakat memuatkan kisah Sayyidina Umar r.a kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dengan menanamnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), ms. 50-51. Terdapat juga dua artikel yang disiarkan di dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998), dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM (Harakah, 30 Nov. 1998). Kedua-duanya memuatkan cerita yang sama dengan sedikit perbezaan ibaratnya.

Jika cerita yang seperti itu disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a sebagai sahabat karib Rasulullah (s.a.w) dan khalifah agung umat Islam.

Cerita yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka menyebarkannya. Pertama, kerana jahil dan kedua adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a berada di zaman jahiliah.

Apa peliknya andaikata semasa jahiliah itu Sayyidina Umar r.a telah melakukan demikian! Selain itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam? Dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Umar r.a itu pun setelah memeluk Islam menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian.

Bagi penulis tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana ini telah pun terbukti melalui sekian banyak riwayat-riwayat yang sahih. Tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas atau ia hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?

Alangkah berguna kepada para pembaca sekalian sekiranya penulis buku-buku dan artikel-artikel tersebutmengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadits atau kitab-kitab sejarah yang muktabar. Tentu sekali mulanya ia direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali kita umat Islam hari ini kerana menerima apa saja yang disogokkan dalam bentuk cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah (s.a.w) telah pun bersabda yang bermaksud;

“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya.” (Hadits Riwayat Muslim)

Tujuan penulis mengoreksi artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup sahabat Rasulullah (s.a.w), juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah (s.a.w) dan sahabat-sahabat Baginda (s.a.w) kerana mereka adalah cermin agama Islam.

Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a menanam hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disiarkan di dalam akhbar tersebut). Begini ceritanya ...

“... Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. la menangis. Umar tidak menghiraukannya. ... Umar menutupkan mata dan terfikir, “Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” la menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “Umar, jangan jadi pengecut,” tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali di telinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir ...”

Selain kisah ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulama’ Islam dalam menilai sesuatu cerita.

Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:

1. Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membuktikan seorang pun daripada qabilah Quraisy pernah menanam anak hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuan sendiri.

2. Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah qabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka disebabkan anak-anak itu. (Mohd Tayyib an-Najjar, al-Qabasu al-Waddha’, ms. 78, Zakaria Bashier,The Meccan Crucible, ms. 24).

Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Asim, seorang pemimpin qabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman jahiliah,di sana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari qabilah yang sama telah menyelamatkan sekian ramai anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan itu.

Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada al-Farazdaq (seorang penyair Arab yang terkenal) dan Zaid bin Amar bin Nufail.

Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibubapa mereka kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang. (At-Thabarani dalam al-Mu’jamu al-Kabir, jilid 8, ms. 77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakatnya yang menyengutukan Allah (s.w.t) dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki-baki peninggalan agama Nabi Ibrahim (a.s). Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapa mereka lalu memeliharanya hingga dewasa. Kemudian beliau akan membawa anak perempuan itu kepada dua ibubapa masing-masing lalu berkata kepada mereka, “Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini bolehlah kamu mengambilnya, atau kalau kamu tidak mahu biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” (Bukhari, jilid 1, ms. 540.)

Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja dari keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau merupakan sepupu Sayyidina Umar r.a sendiri. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id, manakala anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a sendiri. Takkanlah dalam keluarga yang terkenal dengan usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh orang tua mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menyerlah dan terpenting di kalangan mereka melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anak sendiri!

3. Setelah Mekah dibuka, Rasulullah (s.a.w) berbai’ah dengan perempuan-perempuan mukmin. Di antara ucapan Baginda (s.a.w) ialah: “Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun dengan spontan menjawab, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”

Peristiwa tersebut dicatatkan di dalam kitab-kitab hadits dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci, kata-kata Hindun ini menunjukkan qabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini.

Sabda Rasulullah (s.a.w) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu sabda Baginda (s.a.w) yang bermaksud;

“Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka amat menjaga kedudukan dan harta benda suami.” (Sahih Muslim, jilid 16 ms. 81)

Apa ertinya pujian Nabi (s.a.w) mengenai sifat penyayang mereka terhadap anak-anak sekiranya mereka juga seperti qabilah-qabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak? Sewaktu Nabi (s.a.w) diutuskan menjadi Nabi, Sayyidina Umar r.a ketika itu berumur 27 tahun. Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.

Dalam tradisi Arab, seseorang itu dikuniahkan dengan anak sulungnya. Sebagaimana kuniah Nabi kita (s.a.w) ialah Abu al-Qasim, kuniah Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin yang merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.

Perlu juga diperhatikan bahawa di sepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak-anak beliau dengan mereka itu?

Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a, Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:

i. Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Utsman bin Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi (s.a.w). Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.

ii. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh.

iii. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Tsabit bin Aflah. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.

v. Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Dengannya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.

v. Ummul Kultsum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar.

vi. Ummul Kultsum binti Ali bin Abi Talib. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah.

vii. Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar r.a telah mendapat anak. Dengan Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan dengan Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar.

Jadi anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:

Lelaki:

1. Abdullah

2. Abdul Rahman al-Akbar

3. Abdul Rahman al-Ausath

4. Abdul Rahman al-Ashghar

5. Zaid al-Akbar

6. Zaid al-Ashghar

7. Ubaidullah

8. ‘Aasim

9. ‘lyadh


Perempuan:

1. Hafsah

2. Ruqayyah

3. Fatimah

4. Zainab

Daripada isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Sayyidina Umar r.a hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafsin.

Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai hanya 3 orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafsin?

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logik Sayyidina Umar r.a baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun?

Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarimi di dalam Sunannya, atau mungkin ia pura-pura terkeliru.

Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah (s.a.w) lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang jahiliah. Kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan. Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya. Dia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga. Saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Kata-kata terakhir yang terkeluar dari mulutnya ialah, “Ayah!”.”

Mendengar ceritanya itu Nabi (s.a.w) menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi (s.a.w) berkata kepada orang itu, “Kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah (s.a.w).” Nabi bersabda, “Orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih penting dari itu.” Seraya Baginda (s.a.w) berkata kepada orang itu, “Ceritakan sekali lagi kisah itu.” Orang itu pun mengulangi lagi sekali kisah tersebut menyebabkan Rasulullah (s.a.w) menangis sehingga basah janggutnya.

Kemudian Nabi (s.a.w) bersabda, “Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah (s.w.t) dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakanlah amalan-amalan yang lain.” (Sunan Daarimi, jilid 1, ms. 3)

Ini adalah satu kisah dari seorang yang tidak diketahui siapa orangnya dan apa namanya. Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat telah mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a padahal cerita ini pun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak dapat disabitkan kerana Wadhin adalah merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80 H dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain di atasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!

Dalam istilah ilmu hadits, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi di atasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulama’ rijal hadits tentangnya. Imam Bukhari, Muslim dan Nasa’i tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “Dia seorang yang dhaif.” Abu Hatim berkata, “Setengah-setengah riwayatnya baik tetapi sesetengah yang lain sangatlah buruk.” Jauzajani berkata, “Riwayat-riwayatnya adalah lemah.” (Mizan al-I’tidal, jilid 4, ms. 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa, “Ingatannya sangat teruk di samping tertuduh berfahaman Qadariyah.” (Taqribu at-Tahzib jilid 2 ms. 331)

Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan pula tidak disebutkan dengan jelas namanya, kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyidina Umar r.a? Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak berani dilakukan dengan sengaja, kecuali oleh musuh-musuh Islam.

Wallahu'alam.

Sumber: fb Sham Kamikaze

No comments: