Pagi-pagi aku bersiap dan ke MinDef untuk urusan peribadi, ingatkan sekejap je tapi hampir 2 jam kat sana, jadi rasa malas nak gi opis sebab.... hampir 2 jam uruskan urusan peribadi dan perbincangan penyediaan kertas kerja. Jadi aku call office dan ambil EL saja. Petang ini aku ada kelas pengajian di Masjid Negara dan berjanji dengan teman baikku (Lt Kol Nor Sabrina), insyaallah aku akan berada di rumahnya jam 6 petang, kami ke Masjid Negara bersama dengan kereta beliau.
Jadi apa aku nak buat kat rumah masa ini????? sedang aku membelek-belek album lama terjumpa gambar masa aku di sekolah menengah rendah. Aku bersekolah menengah di Sekolah Menengah Jasin (SMJ) (Sekolah Menengah Kebangaan Jasin sekarang ni). Melihat gambar kelas hingga tingkatan empat, aku teringatkan kawan-kawan dan guru sekolah ku, ke mana mereka?, apa mereka buat untuk hidup? adakah guruku masih sihat lagi?
Gambar ini semasa aku Tingkatan 1D, Guru kelas aku Mr Sivaraman, beliau juga merupakan guru subjek Bahasa Inggeris. Tidak banyak peristiwa istimewa yang aku ingat semasa di tingkatan 1, rasanya masa tu aku tak ada kawan baik pun ... murid Melayu memang tak ramai... aku pulak dari kampong, susah nak sesuaikan diri... nak berkomuniksi dalam Bahasa Ingeris pula memang menjadi masalah besar. Jadi mungkin itu yang buatkan aku jadi pendiam kot.
Gambar ini semasa aku di Tingkatan 2B, Guru kelas ku adalah Mr Lim. Mula dari kelas ini akau mempunyai seorang sahabat yang sangat baik, namanya Mukminah binti Hj Johar, dia berasal dari Felda Air Kangkong, tak jauh dari kampong aku. Aku bersahabat dengannya sehingga aku mengaji di tingkatan 6 di Sekolah Iskandar Syah, Jasin.
Yang ini pula adalah gambar aku di tingkatan 3B. Guru kelas aku Mr Puah. Mulai tahun ini (1974) murid-murid Melayu perempuan dibenarkan untuk mengenakan pakaian seragam baju kurung. Aku ingat lagi ramai di antara kami yang teruja apabila dibenarkan memakai baju kurung, tetapi apabila tengah hari kami dah nampak macam selekeh je mungkin disebabkan lengan baju yang panjang dan kain yang berpusing-pusing. Tetapi lama-kelamaan kami dah biasa.
Ini pula gambar semasa aku di tingkatan 4. Aku tak ingat nama guru kelas ku ini, tetapi yang pasti dia adalah isteri kepada Mr. Sivaraman. Seorang guru yang sangat baik dan lemah lembut penuh dengan sifat keibuan. Yang sangat aku ingat aku antara murid yang agak nakal, masa di tingkatan 1 hingga 2 aku suka bergadoh dan bertumbuk, tak kira dengan murid lelaki atau perempuan. Selepas tingkatan 2, aku mula jadi baik sebab mempunyai sahabat-sahabat yang baik, terutamanya Mukminah.
Aku sangat suka dengan sekolah ini, di sini aku mula mengenal dunia melalui pelajaran Geografi dan sejarah Tanah Melayu serta sejarah dunia. Kedua-duanya adalah pelajaran yang amat aku gemari. Di sini juga aku mula menyanyi apabila kumpulan koir ditubuhkan. Gambar ini mungkin gambar semasa aku di tingkatan 5, mungkin gambar ini merupakan gambar terakhir kami di SMJ.
Aku rasa sangat rindu pada kawan-kawan ku.
No comments:
Post a Comment