Lama betul kami semua meninggalkan rumah ini, rumah yang dibina atas penat lelah ayah, emak dan kami adik-beradik. Rumah yang kami jadikan tugu dan tempat perlindungan. Rumah inilah dulunya pernah riuh rendah dengan pelbagai suara dalam pelbagai nada. Maklumlah kami keluarga yang agak besar. (Foto atas belakang rumah)
Semuanya berubah apabila ayahanda yang sangat kami kasihi perbi meninggalkan kami, balik untuk menemui Pencipta yang maha agung dan maha kekal abadi. Mulanya kami terpaksa tinggalkan emak sendirian di rumah ini, tetapi apabila berlaku beberapa insiden makanya kami mengambil keputusan untuk bawa emak tinggal dengan sesiapa yang mak suka. (Foto belakang rumah)
Emak mula duduk dengan adik bungsu kami, Ainee yang mengajar di Tampin dan apabila Ain ditawarkan menjadi pensyarah IPG Temenggung Ibrahim, Johor awalnya mak ikut sama tetapi mungkin rumah KIP (flat) yang Ain diami buat emak kurang selesa sebab sukar nak turun naik. Jadi mak pun ikut saya balik ke Kuala Lumpur.
Kasihankan emak saya berusaha untuk memohon balik bertugas ke mana-mana pejabat Kerajaan di Melaka. Alhamdulillah Allah swt menyampaikan hasrat saya tu dan pada 12 Mei 2015 saya melapurkan diri ke KPDNKK Melaka.
Saya, mak dan kucing-kucing saya yang 11 ekor pun berpindah ke Melaka dan mendiami semual rumah yang dibina oleh ayah yang telah kami tinggalkan lebih 3 tahun. Melihat rumah yang tidak terpelihara memangnya meruntun hati dan jiwa. Rumah yang besar ini tidak mampu untuk diuruskan oleh saya dan mak yang telah kekurangan tenaga dan upaya.
Atas hasil perbincangan bersama dengan adik-adik, keputusan dicapai untuk membaiki dan membersihkan kawasan rumah. Alhamdulillah adik saya Hj Adnan dengan pertolongan seorang pekerja dia telah mula membersihkan rumah ini mulai 1 Jun 2015 yang lalu. Adnanlah yang banyak berusaha dari membeli semua peralatan yang diperlukan sehingga meletakkan seorang pekerjanya di sini.
Cahaya rumah mula menyerlah dan kami percaya ianya akan terus bersinar seperti semula. In Sha Allah....
No comments:
Post a Comment