Apabila salah sebuah parti di negara ini menyebut sahaja dalam Islam asabiyyah tidak pernah wujud, maka selepas meloncat-loncatlah perkataan asabiyyah dari mulut masing-masing. Saya sendiri termangu dan lama juga saya nak fahamkan kenapa dalam Islam tidak ada asabiyyah. Rupanya apa yang disampaikan oleh parti tersebut tidak lengkap dan hadis yang dibacanya juga tidak habis dan penerangan yang disampaikan juga ada niat di sebaliknya.
Apa yang difahamkan dengan asabiyyah?. Asabiyah adalah semangat sayang, membantu, membela kepada bangsa dan puaknya walaupun bangsa atau puaknya itu melakukan kezaliman dan kejahatan. Contoh asabbiyah ini banyak berlaku di dunia kini termasuk dalam parti politik sendiri kerana terlalu taksub dengan parti atau seseorang itu.
Mari kita lihat beberapa hadis Rasulullah saw mengenai asabiyyah ini.
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw: “Adakah termasuk perbuatan asabiyyah apabila seseorang itu mencintai bangsanya?” Rasulullah menjawab: “Tidak, tetapi asabiyyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman”. Hadis riwayat dari Abi Daud Bayrut; Dar al-Kitab al-Ilmiyyah. Hlm 451 hadis No. 5119 Riwayat Ahmad dan Ibn Majah.
Rasulullah saw juga menjelaskan kepada umat Islam tentang “sebaik-baik manusia” adalah yang menolong bangsanya untuk berjaya. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam buku bertajuk Al Adab dari sahabat Syuraqah Bin Malik: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang membela kaumnya selama tidak terlibat dalam perkara dosa”. Makna yang sama dikuatkan lagi ketika seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang hukum membantu kezaliman yang dilakukan oleh bangsa sendiri.
Imam Al Bukhari meriwayatkan dalam bukunya bertajuk Adabul Mufrad dengan tajuk “Cinta Seseorang Kepada Kaumnya” kisah berikut: Seorang wanita yang dipanggil Fusailah berkata: “Aku mendengar ayahku bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, apakah termasuk asabiyah apabila seseorang membela kezaliman yang dilakukan oleh kaumnya?” Rasulullah menjawab: “Ya”.
Berdasarkan riwayat Ubadah bin Kathir al-Shami, Abu Fasilah bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Wahai Rasulullah, adakah termasuk ke dalam asabiyyah (yang dilarang) sifat seseorang lelaki yang sayang amat sangat kepada kaumnya?” Baginda menjawab : “Tidak, tetapi asabiyyah (yang dilarang) ialah engkau menolong kaum engkau dalam melakukan kezaliman (kepada orang lain atau kepada kaum lain)”. Hadis ini jelas menunjukkan kecintaan kepada bangsa adalah asabiyyah yang positif dan tidak termasuk dalam asabiyah yang dilarang dalam Islam.
Ramai juga yang berpendapat bahawa asabiyyah terbahagi kepada 2, iaitu asabiyyah negatif dan positif. Asabiyyah yang positif diterangkan oleh Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqat al-Fawatih yakni wajib atas kamu mengikut yang hak tanpa melihat kepada mulazah al-hak; kerana itu maka kata Ali mengikut yang diriwayatkan oleh Darimi dan Ibn ‘Asakir daripada Jabir, marfu’, “Hendaklah menolong saudara anda baik ia zalim atau terkena zalim; kalau ia zalim maka tolak ia daripada perbuatan zalimnya, kalau ia terkena zalim maka tolonglah ia.”
Dalam hadits di atas menunjukkan para sahabat memahami bahawa menolong kaum sendiri merupakan sebuah tuntutan agama sehingga mereka terfikir apakah membela bangsa sendiri dalam perkara kezaliman juga dituntut oleh Islam. Tetapi mereka diingatkan oleh Rasulullah saw bahawa menolong dan membela bangsa atas sesuatu kezaliman merupakan perkara yang dilarang dan ia disebut sebagai asabiyyah.
Kerana menolong kaum sendiri dalam perkara kemaksiatan dan dosa adalah perbuatan haram, yang dimisalkan oleh Rasulullah dengan sebuah analogi yang cukup menarik: “Perumpamaan orang yang membela kaumnya atas kesalahan ialah seperti seekor unta yang terjun ke dalam sumur sedang ekornya ditarik keluar” Riwayat oleh Ahmad.
Hadis riwayat Abu Daud: Sabda Rasulullah s.a.w.: "Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada 'ASABIYYAH, dan bukan dari golongan kami orang yang berperang (berjuang) di atas dasar ASABIYYAH dan bukan dari golongan kami orang yang mati di atas 'ASABIYYAH."
Banyak lagi hadis-hadis yang mengkisahkan topik ini, apa yang utama pemahaman dengan hati yang terbuka. Lihat pula kepada apa yang berlaku dalam masyarakat kita, terutama umat Islam dalam beberapa parti politik. Pada saya mereka juga bersifat asabiyyah di mana menyokong kezaliman ke atas insan yang lain. Jadi sebelum menuduh lihatlah dahulu pada diri sendiri. Saya amat berharap agar semua orang melayu, orang islam bersatu padu tanpa mengira ideologi politik. Negara kita sedang diserang sama ada dari dalam maupun dari luar. Jangan menyesal apabila kita kehilangan sebuah negara nanti.
No comments:
Post a Comment