1. صُوْمُوا يَوْمَ عَاشُورَاء ، وَخَالِفُوا اليَهُودَ ، صُومُوا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ يَوْمًا بَعْدَهُ - Berpuasalah kamu pada hari 'Asyura, dan bezalah dengan (puasa) Yahudi, (oleh itu) berpuasalah (juga) sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya ( Dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya I/241 ; Ibnu Huzaimah - 2095 - di dalam sanad hadis ini Ibnu Abi Laila yang kurang kuat hafazannya)
2. صُومُوا اليَومَ التَّاسِعَ والعَاشِرَ وَخَالِفُوا اليَهُودَ - Berpuasalah kamu pada hari yang ke sembilan dan hari yang ke sepuluh, dan bezakanlah dengan (puasa) Yahudi. ( daripada Ibnu Abbas r.a. melalui jalan Al-Baihaqi IV/287 - Sanadnya Sahih )
3. إِنِّى أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّيِّئَةَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهَا - Sesungguhnya aku mengharap ganjaran daripada Allah supaya menghapuskan kesalahan (orang yang berpuasa Asyura) setahun sebelumnya. ( HR Muslim - Kitab Puasa )
Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)
A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).
Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura
Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)
14 Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura (setiap 10 Muharram )
1. Melapangkan masa/ belanja anak, suami & isteri. Fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah. Fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha.
4. Menunjukkan orang sesat. Fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu/ mengusap kepala anak yatim. Fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah. Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu. lafaz niat : 'Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
9. Bercelak. Fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : 'Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala'. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca 'hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru'. Fadhilat - Tidak mati pada tahun ini .
13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Puasa. Niat - 'Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala'. Fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
Sumber: Perkongsian di Internet
No comments:
Post a Comment