Tak usah bertanyakan kepada orang lain, saya cuba tanyakan pada diri saya sendiri - apakah ertinya perkataan Melayu. Tanpa berfikir saya akan menjawab Melayu itu adalah satu bangsa yang rata-ratanya hidup di Nusantara ini yang bertaburan di beberapa buah negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thai dan sedikit di Kemboja dan lain-lain negara. Di samping itu juga Melayu juga boleh dirujuk kepada satu Bahasa yang dikenali sebagai Bahasa Melayu - yang digunakan di negara-negara seperti di atas kecuali Indonesia di mana bahasa yang digunakan di negara tersebut adalah Bahasa Indonesia asasnya dari Bahasa Melayu (hanya deliknya sahaja yang lain). Sebaik sahaja saya membelik Kamus Dewan rupanya jawapan saya tak lari jauh, di mana dalam kamus tersebut menyatakan perkataan Melayu adalah "nama suatu bangsa dan bahasa (terutama di Semenanjung Malaysia); masuk ~ a) mengikut cara hidup orang Melayu; b) masuk Islam;"
Adakah kita terutamanya yang tergolong dalam bangsa Melayu merasa bangga dengan bangsa ini? adakah kita rasa bersyukur apabila dilahirkan dalam bangsa Melayu? sejauh mana pula kita memahami evolusi bangsa dan bahasa ini? adakah kita sedar bahawa bangsa Melayu di Malaysia ini sedang menghadapi ancaman? dan apakah sumbangan kita untuk memastikan ancaman terhadap bangsa ini dapat ditangani dengan bijak? Saya lontarkan rasa hati saya yang gelisah ini kepada semua sahabat-sahabat saya..... Saya dah rasa tidak tertanggung untuk memikul beban rasa gelisah dan bimbang akan keruntuhan bangsa ini. Tetapi memandangkan ancaman yang tidak jelas ini, saya percaya ramai kawan-kawan yang sebangsa dengan saya tidak perasan akan ancaman yang sedang dihadapi oleh bangsa Melayu.
Saya berdoa setiap hari agar bangsa ini akan diselamatkan oleh Allah Taalah walau dengan apa cara sekalipun. Agar bangsa ini akan kekal di dunia ini seribu tahun lagi bagi membuktikan agar Tidak Melayu Hilang Di Dunia. Jangan ada di antara kawan-kawan memikirkan dengan terhapusnya ISA saya berani untuk bersuara dengan lebih lantang, tidak sekali-kali kerana saya sedar masih ada lagi Akta yang mengikat saya iaitu Akta Hasutan. Tetapi ini hanya untuk menyuarakan rasa hati di samping untuk mendapatkan pandangan sahaja. Bukankah ingat-mengingati itu budaya kita supaya kita tidak terus lalai dan leka.
Akhir kata, renungilah pantun ini:
Anak Melayu ketawa suka
Ketawa sambil berlari ke kedai
Kalau kita terlalu leka
Jangan dikesal negara tergadai.
No comments:
Post a Comment