Catatan pengalaman, pendapat dan curahan hati untuk dijadikan bacaan ringan sanak saudara dan kawan-kawan - tiada rahsia. Semua dijemput.
26 September 2011
Jalur Gemilang Kebanggaan Kita
Jalur Gemilang yang dulunya kita sebut sebagai Bendera Malaysia yang sebenarnya telah ada lama dulu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Bendera yang ketika itu dikenali sebagai Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dicipta oleh seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, iaitu Encik Mohamed Hamzah yang memenangi pertandingan mereka-cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan ini dikelolakan oleh Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara pada ketika itu, Sir Alec Newboult.
Sejarah mencatatkan pada tanggal 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengangkat sejumlah 373 reka bentuk bendera yang diterima dari pelbagai lapisan masyarakat kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pemilihan. Jawatankuasa telah menyenaraipendekkan tiga rekaan iaitu pertama: lambang keris bersilang dikelilingi dengan 11 bintang pecah lima; rekaan kedua mempamirkan reka bentuk yang hampir serupa dengan reka bentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan yang mengelilingi keris bersilang. Manakala rekaan ketiga menampilkan 11 jalur biru putih yang berselang seli dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri. Rekaan ini telah mendapat pilihan majoriti serta diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 22 dan 23 Februari 1950.
Walau bagaimanapun sebelum bendera ini kekal seperti adanya sekarang, beberapa pindaan telah dibuat termasuklah menukar warna bulan sabit daripada warna putih kepada warna kuning bagi mewakili warna Diraja. Cadangan ini telah ditihtakan oleh DYMM Sultan Kedah.
Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Sejarah mencatatkan pada tepat jam 9.30 pagi tanggal 26 Mei 1950, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dengan megahnya buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor. Majlis tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil Sultan seluruh Tanah Melayu. Seterusnya bendera ini dijadikan medium dalam penyatuan rakyat negara ini tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Ianya telah dikibarkan bukan sahaja di dalam negara malahan juga di luar negara di mana kerajaan ini terlibat secara langsung.
Namun begitu setelah 47 tahun digelar Bendera Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Bendera Malaysia. Pada tahun 1997 bendera ini diberi nama Jalur Gemilang, majlis disempurnakan semasa sambutan kemerdekaan ke-40.
Pada 11 Julai 1995, Datuk Hashim Mat Idris telah mengusulkan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk memberikan nama kepada Bendera Malaysia. Satu peaduan telah diadakan dan nama Jalur Gemilang telah dicadangkan dan dimenangi oleh seorang pegawai Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, iaitu Encik Redzuan Tamin dengan menewaskan 28 cadangan nama lain antaranya, Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa, Seri Setia Negara, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah, Jalur Nusa Gemilang, Jalur Sinar Gemilang dan sebagainya. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 pagi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Maksud lambang dan warna Jalur Gemilang
Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini;
Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara;
Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran;
Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan;
Warna biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai; dan
Warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment