06 February 2011

Solat Dan Keluarga Muslim

Oleh Mohd. Asri b. Zainul Abidin
moasriz@tm.net.my

Dalam kejenuhan kita memperkatakan tentang teori pendidikan dan bagaimanakah cara memperoleh anak yang bijak, mematuhi nasihat dan berjaya, kita tidak boleh lupa kepada asas-asas kejayaan yang digariskan oleh Yang Maha Mengetahui. Apabila kita bercakap mengenai Islam atau garis panduan yang dinyatakan oleh Islam yang jelas disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah, kita sebenarnya bukan memetik pemikiran seseorang tokoh atau cendiakawan tertentu, kita sebenarnya membicara arahan-arahan Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana, Yang Menciptakan manusia, Maha Mengetahui tentang diri insan melebihi segalanya. Apabila kita faham sebegini, kita akan merasakan besarnya arahan Allah dan sabda RasulNya yang bercakap dengan perintahNya.

Dalam menggariskan panduan keluarga, selepas Islam meminta agar seseorang jelas dalam persoalan `aqidahnya, maka amalan yang ditegaskan selepas itu adalah solat. Sabda Rasulullah s.a.w.: yang bermaksudnya: "Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, pukullah mereka jika meninggalkannya ketika mereka berusia sepuluh tahun dan pisahkanlah antara tempat tidur mereka"
(Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmizi, katanya hasan sahih. An-Nawawi juga menyatakan sanadnya hasan)

Kata Luqman kepada anaknya dalam Surah Luqman ayat 15: “Wahai anak ku! Dirikanlah sembahyang”

Walaupun hadis dan ayat di atas selalu kedengaran di telinga kita, namun sebahagian besar daripada kita tidak begitu terpanggil dengan apa yang ditegaskan oleh Allah dan baginda Rasul s.a.w. dalam perkara di atas. Walaupun kita tahu solat itu sangat besar kedudukannya, namun secara praktiknya menunjukkan kita tidak merasa betapa besarnya solat? Berapa ramaikah yang benar-benar tegas apabila melihat anaknya tidak bersolat? Berapa ramaikah yang pernah memukul anaknya kerana meninggalkan solat?. Berapa ramaikah yang merasa runsing dengan sikap anaknya yang cuaikan solat?

Namun ramai ibu bapa yang runsing kalau anak malas belajar. Runsing kalau anaknya meninggalkan kelas tambahan. Pukul anak kalau mengambil wang tanpa izin. Bukan salah untuk diberi penekanan itu semua, persoalannya, mengapa kita tidak sebegitu dalam perkara solat, bahkan sepatutnya melebihi itu.

Jawapannya, kerana kita tidak begitu jelas nilaian solat di dalam agama. Kita rasakan meninggal solat adalah suatu kesalahan tetapi ianya tidaklah begitu besar. Kita lupa solat adalah penghubung antara insan dengan tuhannya. Sesiapa yang meninggalkan solat maka terputuslah hubungan kerohanian antara dia dengan Allah. Jadilah dia manusia yang hilang pedoman, hilang arah panduan dan mustahil untuk istiqamah di atas jalan kebenaran yang sebenar. Sukar untuk dididik dengan nilai-nilai kebaikan yang bertunjangkan kejujuran sebenar. Apabila terputusnya hubungan seseorang insan dengan tuhannya, apa lagi yang dapat menjadikan dirinya rasa diperhatikan senantiasa dan dikawal selalu?

Sesungguhnya meninggalkan solat adalah dosa yang sangat besar di sisi Islam. Al-Quran menegaskan tiada balasan bagi sesiapa yang meninggalkan solat melainkan api neraka yang sangat perit.

Firman Allah Surah al-Mudaththir ayat 74: (yang bermaksud): “Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka saqar. Jawab mereka: Kamu dahulunya tidak termasuk dalam orang yang mengerjakan solat.

Inilah amaran Allah untuk mereka yang meninggalkan solat. Tempat ialah neraka yang bakal mereka tinggal di dalamnya. Bayangkanlah hidup yang dianugerahkan kepada kita di dunia yang bakal berakhir hanyalah setelah beberapa puluh tahun cuma, lalu kita memperjudikannya hingga meninggalkan solat kerana hawa nafsu dan sikap yang ingin mengecapi dunia sehingga melupai akhirat. Maka bayarannya ialah neraka yang sangat panjang tempohnya. Alangkah ruginya kehidupan yang seperti itu!

Ibubapa diminta supaya memastikan keselamatan anak-anak agar tidak terjun ke dalam api neraka. Ini tugasan utama yang dipertanggung jawabkan ke atas bahu setiap yang menjadi ibu dan ayah. Firman Allah dalam Surah at-Tahrim ayat 6, yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat di atas dalam tafsir, Tafsir al-Quran al-`Azim, menyebut huraian Ibn Abbas iaitu “Taatilah Allah dan takutilah maksiat serta suruhlah kaum keluargamu mengingatinya nescaya Allah selamatkan kamu dari neraka”

Sekiranya seseorang ibu atau bapa marah kepada anaknya kerana menderhakainya, mengapakah dia tidak memarahi dirinya yang telah menderhakai Allah?!!. Ramai ibu bapa yang menderhakai Allah sebelum anak-anak menderhaki mereka!!! Mereka melanggar arahan dan larangan Allah, mereka mencuaikan tanggungjawab dan amanah agar memelihara kaum keluarga dari api neraka. Sekiranya mereka merasa besarnya kesalahan anak-anak menderhakai mereka, apakah mereka merasa kecil kesalahan mereka terhadap Allah?!!.

Kembali kepada persoalan solat, di manakah letaknya solat dalam program keluarga kita? Apakah ianya sekadar persoalan sampingan atau asas dalam pentakbiran keluarga? Sabda Nabi s.a.w. di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim: Maksudnya: "Garis pemisah antara seseorang hamba dan syirik ialah meninggalkan solat"

Demikian betapa besarnya kesalahan meninggalkan solat sehingga ada di kalangan para ulama seperti al-Imam Ahmad bin Hambal r.a. dan mereka yang sependapat dengannya menghukum sesiapa yang meninggalkan solat sebagai kafir. Walaupun ulama jumhur termasuk al-Imam al-Syafi`i r.a. tidak menghukum kafir sesiapa yang meninggalkan solat tetapi mereka dengan jelas menyatakan sesiapa meninggalkan solat adalah dianggap fasiq, iaitu ahli dosa besar. Sesiapa yang engkar bahawa solat adalah wajib ke atasnya maka para `ulama sepakat bahawa orang tersebut adalah murtad atau terkeluar dari Islam.

Perlu disedari walaupun meninggalkan solat tidaklah kufur pandangan jumhur ulama, namun peninggalnya adalah fasiq yang melakukan dosa besar, bahkan dosa meninggalkan solat adalah sangat berat dan terbesar.

Kata al-Imam al-Zahabi dalam Kitab al-Kabair: "Tidak ada dosa yang lebih besar selepas syirik melainkan melainkan meninggalkan solat sehingga keluar waktunya dan membunuh orang mukmin tanpa sebab"[m.s. 27. Cetakan Dar Ibn Hazm, Beirut]

Ertinya, meninggalkan solat lebih besar kesalahannya dari arak, judi dan lain-lain dosa. Malangnya, betapa ramai orang Islam yang lupa dalam perkara ini. Mereka menyangka bahawa yang dikatakan dosa besar itu ialah berzina atau minum arak atau mencuri atau seumpamanya sedangkan mereka lupa bahawa meninggalkan solat adalah lebih besar kesalahannya dari itu semua. Namun hasil dari tidak faham sebahagian kita mengenai besarnya solat maka kita akan mendapati perkara-perkara berikut terjadi:

Ada ibubapa yang marah jika anaknya minum arak atau berzina tetapi mendiamkan diri apabila melihat anak meninggalkan solat. Ya memarahi kerana dosa lain adalah wajar dan disuruh oleh Islam, tetapi jangan lupa bahawa meninggalkan solat juga adalah dosa besar dan lebih besar.

Lebih malang lagi bilamana kita mendapati ada di kalangan yang mendakwa diri sebagai pendokong gerakan Islam atau aktivis Islam, tiba-tiba membiarkan ahli keluarga mengabaikan solat. Ada pula yang tegas memarahi dan mengkritik tidak tertegak Islam dalam negara, ini adalah semangat kesedaran yang baik, tetapi malangnya ketika dia mentakbir keluarganya, dia juga tidak melaksanakan Islam yang difardukan ke atas bahu sebagai ketua keluarga iaitu memrintahkan ahli keluarga yang merupakan rakyatnya untuk menunaikan solat

Bahkan yang lebih dahsyat lagi, ada yang aktif berprogram pada malamnya sehingga tidak mampu untuk bersolat subuh pada paginya. Nada cakapnya, nampak begitu mahukan Islam ditegakkan, ini sesuatu yang baik, tetapi dia mengabaikan asas utama amalan Islam iaitu solat. Invidu seperti ini –jika wujud- hendaklah kita pastikan jangan dipilih mendudukan tempat penting dalam gerakan umat, kerana telah melakukan kesalahan terbesar dalam Islam selepas syirik iaitu meninggalkan solat.

Ada ibu atau bapa sanggup berkorban apa sahaja, asalkan anak bahagia. Di waktu kecil-bak kata pepatah- nyamuk seekor pun tidak diizinkan menyentuh anaknya, sehingga dewasa sanggup berkorban nyawa kerananya. Malangnya, sebahagian kita alpa bahawa neraka adalah tempat yang paling perit untuk didiami, paling dahsyat siksaannya, maka hendaklah kita bersungguh memelihara anak kita daripadanya serta berkorban menyelamatkan mereka daripadanya.

Sementara itu ada pula, ada yang hanya menunai solat-solat tertentu sahaja. Allah menfardukan lima waktu, tapi dia menunaikan kurang daripada itu. Lebih malang ada yang solatnya hanya sekali di dalam seminggu, iaitu pada hari jumaat sahaja. Itupun sekadar menjaga dari dipertikaikan oleh orang lain. Ini semua tidak menyelamatkan mereka dari azab neraka.

Ada ibubapa yang hanya memadai dengan hanya melihat anak menunai satu dua solat sahaja. Di hening subuh misalnya, dia simpati untuk mengejutkan anak kesayangannya yang nyenyak dengan nikmat tidur, dia lupakan kenikmatan syurga yang dijanjikan dan kedahsyatan neraka yang diberi amaran mengenainya. Namun di zaman kita ini ramai yang menyanggap membicarakan soal syurga dan neraka adalah sesuatu yang ke belakang dan mundur. Kononnya, tajuk yang seperti itu tidak lagi relevan dengan masyarakat moden. Bagi mereka topik seperti ini seakan superstition, khayalan, ugutan yang hanya untuk menakut-nakutkan. Namun bagi seorang Muslim mukmin ianya rukun iman, yang tiada iman tanpanya.

Firman Allah dalam Surah Maryam ayat 59: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab”

Ada pula di kalangan orang Islam yang melakukan berbagai kebajikan lain, tetapi meninggalkan solat. Dalam hal ini , sabda Nabi s.a.w: Maksudnya: "Perkara yang pertama dihisab seseorang hamba pada hari kiamat kelak ialah solatnya. Sekiranya solatnya baik maka dia beruntung dan berjaya. Sekiranya solatnya rosak maka dia akan kesal dan rugi" (Riwayat al-Tirmizi, katanya hadis ini hasan)

Apa yang lebih malang, adanya di kalangan umat Islam yang berjual-beli sehingga meninggalkan solat. Memang benar, urusan perniagaan penting, diajar dan disuruh oleh Islam, kerana Islam tidak akan bangkit melainkan dengan sokongan sistem politik dan muamalat Islam. Namun kesemuanya mesti dibina di atas dasar taatkan Allah dan takwa. Tidak mungkin dapat dibina peribadi Muslim tanpa solat, kerana ianya adalah asas penting agama. Datangilah solat, ianya hanya sebentar, selepas selesai sambungi urusan harian. Solat boleh ditunaikan di mana-mana jua, bahkan tidak diwajibkan untuk kita berwirid panjang selepasnya sehingga mengganggu urusan lain

Keluarga Muslim hendak memastikan solat tertegak dengan utuh dalam perjalanan keluarga. Bahkan solat mestilah dijadikan rukun yang tidak mungkin digambarkan sesebuah keluarga itu sebagai keluarga Muslim sejati tanpanya.

Keluarga adalah rangkaian dari kewujudan sistem kemasyarakatan Islam yang menyeluruh dan solat adalah asas amalan yang mesti dilaksanakan tanpa sebarang pengabaian. Terabainya solat bererti rosaknya rangkaian pembentukan masyakat Muslim yang lebih besar yang kita impikan kekukuhannya.

No comments: