Setiap kali saya balik ke kampong di Melaka, saya pasti teruja untuk mencari semula akar keturunan saya. Siapakah mereka?, dari mana asal mereka? dan bagaimana budaya dan anutan mereka. Dari dengar-dengar cakap dan cerita mak serta saudara-saudara, keturunan saya berasal dari pelbagai bangsa dan agama. Ini adalah proses asimilasi yang berlaku di Melaka dulu-dulu, apabila Melaka menjadi pelabuhan penting dalam peta dunia pada masa itu. Di sini bermulanya proses pertembungan budaya, pertukaran ideologi dan perkembangan budaya melalui proses perkahwinan. Agaknya itu yang berlaku kepada asal keturunan saya.
Yang sangat pasti keturunan sebelah emak saya berasal dari dua buah negara yang sangat asing, iaitu ayah emak (atuk saya - Haji Mamood bin Omar) dari keturunan Cina dari negeri China, mereka menganut agama/ bangsa tionghua, Bapa atuk saya [Moyang Omar adalah seorang Cina dan memeluk Islam serta berkahwin dengan Moyang Sakdi yang juga dipercayai seorang Cina Islam (keturunan moyang Sakdi tidak dapat dikesan)]. Lim adalah nama pangkal keturunan Cina moyang lelaki saya.
Semasa kecil saya pernah ke rumah nenek saudara yang bukan Islam di Simpang Pajak dan pastinya dalam rumahnya ada gambar tuhan Cina dengan misai dan janggut yang panjang. Di hadapan gambar itu diletakkan sepiring buah limau yang saya suka ambil dan makan. Kalau tak salah saya di belakang rumahnya ada sepasang kubur Islam yang selalu dikunjungi oleh mereka dengan mengadakan kenduri. Maklumlah saya tak faham apa-apa masa itu sebab masih kanak-kanak, apa lagi makan je la.
Keturunan sebelah atuk saya ini masih lagi ada di Kesang Pajak, Jasin Melaka dan masih ramai lagi di Bukit Rambai. Beberapa kali saya cuba untuk cari tapi tak berani sebab tak tahu nak dimulai dari mana.
Sebelah emak, emak saya (nenek saya Chik binti Manap) adalah bangsa Jawa, keturunan inilah yang membuka kampung Kesang Tua, Jasin Melaka. Itulah sebabnya boleh dikatakan satu kampong ini adalah saudara mara kami. Sayangnya nenek saya ini meninggal dunia dalam usianya yang sangat muda iaitu 32 tahun semasa melahirkan anak bungsunya yang juga meninggal dunia.
Asal keturunan sebelah ayah juga macam sebelah emak, di mana terdapat 2 bangsa, iaitu Melayu dan Cina. Bapa ayah saya (Haji Lesut bin Muslim) juga berketurunan Cina, tetapi asal keturunan mereka telah memeluk Islam agak lama jika dibandingkan dengan sebelah atuk emak. Ayah saya adalah anak tunggal dari perkahwinan atuk saya dengan nenek saya (Nenek Munab binti Raidin).
Kebanyakan kaum kerabat Nenek Munab (dalam gambar Nenek Munap adalah sebelah kiri) berada di Kampong Kemengkang Jasin, seperti juga kaum kerabat di Kesang begitu jugalah dengan di sini, boleh dikatakan seluruh kampong adalah saudara mara kami. Yang sebenarnya masih ramai lagi cabang dan ranting keluarga yang perlu dilukis...... tapi..... apakan daya tiada tenaga....
Dah banyak kali saya cuba bangunkan family tree, tapi susah nak cari roots. Jadi projek itu masih terbengkalai, kalau ada keturunan selepas ini yang sanggup untuk meneruskannya. Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment