Setelah unta baginda dibunuh ada pula perancangan untuk membunuh baginda, namun begitu perancangan tersebut tidak dilaksanakan. Seperti yang dijanjikan ALlah kini kaum tersebut hanya menunggu.masa untuk merasai azab Allah yang amat pedih...
Seperti yang diceritakan dalam banyak sejarah sebelum azab yang dijanjikan Allah menimpa kaum tersebut, Nabi Saleh memberitahu kaumnya bahwa azab Allah yang akan menimpa di atas mereka akan didahului dengan tanda-tanda seperti berikut:
1. Pada hari pertama bila mereka terbangun dari tidur, wajah mereka menjadi kuning.
2. Pada hari kedua akan berubah menjadi merah.
3. Pada hari ketiga jadi hitam; dan
4. Pada hari keempat turunlah azab Allah yang pedih itu.
Mendengar ancaman azab yang dikhabarkan oleh Nabi Saleh as kepada kelompok sembilan orang iaitu kelompok pembunuh unta dan merancang melakukan pembunuhan ke atas diri Nabi Saleh, mereka mengadakan pertemuan rahsia dan bersumpah untuk melaksanakan rancangan pembunuhan itu di waktu malam terutamanya di saat orang masih tidur nyenyak. Tujuannya mereka adalah untuk menghindari tuntutan balas darah oleh keluarga Nabi Saleh as, jika diketahui identiti mereka sebagai pembunuhnya. Rancangan mereka ini dirahsiakan sehingga tidak diketahui dan didengar oleh siapapun kecuali sembilan orang itu sendiri.
Seperti yang dijanjikan di malam yang gelap-gelita dan sunyi-senyap mereka mendatangi tempat Nabi Saleh as bagi melaksanakan rancangan jahatnya, tetapi dengan tidak semena-mena jatuhlah batu-batu besar yang tidak diketahui dari arah mana datangnya di atas kepala mereka seketika itu juga mereka rebah ke tanah dalam keadaan tidak bernyawa lagi. Demikianlah Allah telah melindungi rasulNya dari perbuatan jahat hamba-hambaNya yang kafir.
Satu hari sebelum hari turunnya azab yang telah ditentukan itu, dengan izin Allah berangkatlah Nabi Saleh as bersama para mukminin pengikutnya menuju Ramlah, sebuah tempat di Palestin, meninggalkan Hijir dan penghuninya kaum Tsamud yang habis binasa ditimpa halilintar yang dahsyat beriringan dengan gempa bumi yang mengerikan.
Ingatlah bahawa dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan oleh sekelompok kecil warga masyarakat mampu membinasakan masyarakat itu seluruhnya, oleh yang demikian menjadi tanggungjawab ahli masyarakat untuk nasihat-menasihati ahli masyarakatnya. Kejadian yang menimpa kaum Tsamud menjadi binasa dan hancur malahan hilang dari muka bumi kerana dosa dan pelanggaran perintah Allah yang dilakukan oleh beberapa orang pembunuh unta Nabi Saleh as.
No comments:
Post a Comment