Seorang saintis terkemuka telah dijemput ke suatu jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, saintis itu pun pergi ke majlis tersebut. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak diraikan atau dijemput untuk makan. Tuan rumah lebih mengutamakan orang-orang kenamaan, orang-orang kaya, orang-orang berpangkat dan ternama sahaja. Saintis hebat itu dipinggirkan.
Menyedari sikap “pilih bulu” tuan rumah, saintis pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaiannya. Kali ini beliau memakai pakaian yang mahal dan bergemerlapan. Kemudian dengan segera beliau pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dijemput dengan hormat untuk menjamu selera makanan yang lazat-lazat oleh tuan rumah.
Tiba-tiba saintis itu menuangkan lauk-pauk dan makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah ke atas bajunya, seluar dan seluruh pakaiannya yang mahal-mahal itu.
“Mengapa?” Tanya orang ramai. Saintis menjawab, “Tuan Rumah hendak menjamu pakaianku, bukan diriku!”
Pengajaran:
Pandangan kita terhadap diri kita adalah jauh lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap diri kita. Inilah yang dikatakan harga diri dan inilah syarat utama untuk berjaya dalam hidup. Jadi, jangan risau kalau kita tidak dihargai, tetapi risaulah kalau benar-benar diri kita sudah tidak berharga. Harga diri kita bukan terletak pada barang-barang bernilai yang kita pakai atau kita miliki, tetapi pada ilmu, akhlak dan takwa yang ada dalam diri.
*Diadaptasi daripada buku Angguk Geleng, Himpunan Kisah Dakwah Satira Oleh Pahrol Mohamad Juoi dan Husna Hassan.
No comments:
Post a Comment