02 March 2015

Guy Fawkes

Pada masa pemerintahan King James I (1567-1625), Sepanyol memiliki pengaruh tertentu ke atas urusan pentadbiran Inggeris. Ini mengakibatkan rasa tidak puas hati sebilangan rakyat Inggeris.

Pada masa yang sama, sememangnya terdapat pertentangan yang meruncing di antara golongan Katolik dan Protestan di Inggeris. Golongan Katolik inginkan layanan yang lebih baik dari para pemerintah Protestan dan mereka selalu merancang untuk mengugut raja bagi mengikut kehendak mereka.

Dan di sini bermulanya salah satu rancangan itu,yang digelar 'Gunpowder Plot'.

Terdapat 13 perancang dalam insiden itu, namun yang paling terkenal ialah seorang yang bernama Guy Fawkes.

Rancangannya ialah meletupkan sebuah bangunan,House of Lords (kini salah satu tapak di dalam Istana Westminster) bagi percubaan membunuh raja dan para bangsawan.

Rancangan ini terbongkar apabila William Parker, salah seorang bangsawan Inggeris telah menerima sepucuk surat tidak bernama, memberitahu terdapat plot untuk meletupkan Parlimen.

Kerajaan mengarahkan pemeriksaan dan menggeledah sekitar Parlimen. Dalam satu operasi,mereka terserempak dengan Guy Fawkes yang dikatakan sedang menjaga sejumlah besar kayu api. Fawkes mengatakan bahawa kayu api itu kepunyaan tuannya yang bernama Thomas Percy. Kumpulan penggeledah kembali melaporkan kepada raja manakala Guy Fawkes meninggalkan tempat itu.Raja mengarahkan kembali menggeledah kawasan tersebut.Malam itu mereka kembali menggeledah di tempat yang sama,hanya menemui kembali Guy Fawkes-kini memakai jubah dan bertopi serta sepasang but. Lelaki itu mendakwa namanya John Johnson. Pasukan penggeledah mencurigai Guy Fawkes lantas mereka memeriksa tubuhnya. Di sana mereka menemui jam poket dan fius peledak. Kawasan itu digeledah dan alangkah terkejutnya mereka apabila menemui 36 tong berisi bahan peledak di bawah arang batu dan kayu-kayan, cukup untuk membinasakan House of Lords. Dia segera ditahan dan dibawa kepada raja.

Guy Fawkes disoal siasat namun dia enggan mendedahkan apa-apa atau nama-nama yang terlibat dalam rancangan itu. Akhirnya dia dibawa ke Tower of  London dan dikatakan didera dengan menggunakan The Rack. Guy Fawkes akhirnya mengaku namun masih banyak berdiam diri bila diajukan tentang yang lain.

Para perancang yang lain, apabila mendengar berita penangkapan Fawkes segera berundur dan merancang satu rancangan lain. Mereka telah menjarah Istana Warwick untuk mendapatkan bekalan senjata. Kemudian mereka berlindung di Holbeche House, sebuah rumah agam di utara Kinswinsford. Malangnya,mereka dikepung oleh Richard Walsh seorang sheriff di Worcestershire, yang mencari dalang menyerang Istana Warwick tempohari. Pertempuran pun tercetus dan yang masih hidup berjaya ditahan.

Guy Fawkes dan para perancang lain dijatuhkan hukuman berkelas tinggi-khas untuk para pengkhianat dan penjenayah berat iaitu terkenal sebagai 'hanged, drawn and quartered'. Guy Fawkes dikatakan berjaya memperdayakan algojo dan terjun untuk membunuh diri, sekurang-kurang berjaya menghindarkan kematian yang pedih hasil penderitaan digantung, dilemaskan kemudian dikeluarkan organ tubuh hidup-hidup.

Menariknya, lelaki bernama Guy Fawkes ini dijadikan ikon revolusi,namun unik dengan penampilannya yang tersendiri. Di sana terdapat topeng Guy Fawkes, yang terkenal dalam filem V for Vendetta dan digunakan oleh kumpulan penggodam 'Anonymous' serta para pemprotes di seluruh dunia.

Mungkin tindakan Guy Fawkes berjaya membohongi para penggeledah pada insiden pertama dan percubaan menyamar sebagai 'John Johnson' dengan memakai jubah dan topi pada insiden kedua menjadi inspirasi kepada topeng Guy Fawkes yang terkenal itu,bermula dengan tradisi sub-budaya perayaan Malam Guy Fawkes yang popular dengan pemakaian topeng lelaki bermisai.

Sumber: fb Srikandi

No comments: