Hari Sabtu yang lepas (9 April 2011) aku disampaikan berita yang sukar untuk dipercayai oleh emak saya, katanya Kak Ramah telah meninggal dunia pada pagi itu kerana sakit kepala. Masa itu emak ada di kampong (Kesang Tua) dan bersiap sedia untuk ke Kuala Lumpur menghadiri perkahwinan anak kepada anak saudaranya. Sayang seribu kali sayang tak ada wakil dari keluarga kami pun. Kata emak jenazahnya dikebumikan pada petang Sabtu itu juga.
Selepas ayah meninggalkan kami, Kak Ramah inilah yang menemani emak kami lebih kurang selama hampir 6 bulan, termasuklah juga pada bulan puasa, secara kebetulan dia adalah saudara jauh ayah aku. Biasanya lepas isyak dia datang dan temankan emak, dan selepas subuh dia akan balik semula ke rumahnya. Antara rumah dia dan rumah kami tak jauh sangat. Kak Ramah ini seorang yang sangat baik hati dan sentiasa ada perasaan bimbing takut-takut terkecilkan hati orang lain.
Gambar ini diambil semasa emak dan Kak Ramah mengikut aku ke A'Farmosa Melaka kerana menghadiri seminar. Mereka sedang mentelaah buku mengerjakan haji, Aku agak terkilan kerana hajatnya untuk menunaikan fardu haji tidak kesampaian. Dia selalu berkata kepada aku "Ni, nanti akak ikut kau ya untuk kerjakan haji". Kalau ikut jadual Tabung Haji insyallah tahun hadapan giliran aku dan keluarga termasuk dia untuk mengunjungi rumah Allah. Tapi rupanya Allah lebih menyayangi dia dan menjemput dia lebih awal balik ke sisiNya.
Insyallah aku dan keluarga akan sentiasa mendoakan kesejahteraannya di sana. Insyaalah kami akan membuatkan umrah untuknya kalau diizinkan Allah.
Kepada Anak-anaknya Dak Long, Suria dan Shahril - takziah dari kami sekeluarga.
No comments:
Post a Comment