18 April 2011

Kesian Si Comel

Ini adalah Si Comel, anak kucing yang datang ke rumah aku pada awal tahun ini. Masa itu dia kecil sangat dan masih takut-takut pada manusia. Lama kelamaan dia jadi manja walaupun kadang kala masih ada rasa takut.

Si Comel pantang nampak aku balik dari kerja, dia seakan-akan tahu bilakah aku akan tiba di rumah, jadi dia sudah siap menunggu di parkir kereta. itu yang membuatkan aku malas nak tinggalkan rumah takut Si Comel balik nak makan. Tetapi mengikut Abang Jaafar jiran setaman, Si Comel juga kerap ke rumah dia untuk meminta makanan. Pada hari Ahad yang lepas (17 April 2011) aku baru balik dari rumah adik ku di Bangi setelah menginap di sana sehari kerana Mak aku ada di rumah dia. Sebaik sahaja aku buka pintu rumah, Si Comel lantas meluru masuk dan meminta makanan - mungkin sebab dia terlalu lapar sangat kot.

Kemudian masuk pula Si Putih, seekor kucing jantan yang dewasa yang mungkin sesat dan dia terus menerkam Si Comel. Aku lihat Comel cedera teruk juga di kaki depan kiri. Kulit dia tercabut hampir 1 in. Kesian melihat dia, aku letak ubat dan balut kaki dia. Mungkin dia tahu aku hendak mengubat dia, maka dia mendiamkan diri sahaja semasa aku meletakkan ubat dan membalut luka dia.

Selera makan dia terus tertutup. Makan sikit sahaja, Comel terus tertidur.


No comments: