22 December 2015

Catatan Perjalanan: Haji Tahun 2015 - Persiapan Pergi

Alhamdulillah tahun ini sekali lagi saya dapat menunaikan fardu haji buat kali ke2. Kali ini saya pergi bersama dengan adik bungsu saya Hjh Ainee yang merupakan ibadat hajinya yang pertama. Saya dan Ain menerima surat tawaran sebagai bakal jemaah haji tahun 2015 pada Disember 2015. Tabung Haji (TH) memberikan masa lebih kurang 2 minggu untuk menjawab dan mencukupkan duit dalam TH. 

Jadual penerbangan kami telah ditentukan pada 4 September 2015 dan sehari sebelum itu Ain dan saya mengambil cuti untuk berkemas-kemas. Bukan saya dan Ain saja yang sibuk untuk berkemas rupanya budak-budak meow juga sibuk. 

Tuah Fitrilah yang paling seronok berlari dan melompat apabila barang-barang diangkat dan diletakkan di atas lantai dan di dalam beg. Bergolek-golek dan menyorok-yorok dicelah-celah barang. Memang perangai kucing macam tu.

Manakala Acik lebih suka duduk dalam beg dan mengeluarkan pelbagai barang yang dah disusun rapi menjadikan beg tak terkemas. Sehinggakan ubat Asthma saya pun tertinggal.

Bujang dan Tuah sama-sama menyebok membuatkan saya dan Ain sukar untuk mengemas, tapi melihatkan foto-foto ini menjadikan ianya satu kenangan yang indah. Untuk ke mana-mana sekali pun persiapan pergi yang paling seronok, ikut hati semua nak dibawa, tetapi padahnya kita sendiri yang akan penat bawa beg yang besar. Saya dan Ain bawa beg yang kecil bagi memudahkan pergerakan kami. Lagi pun perjalanan ini adalah perjalanan ibadah, tak banyak pakaian yang diperlukan hanya 4 helai jubah, seluar panjang dan 2 pasang baju tidur. 5 pasang setokin dan pakaian dalam yang mencukupi. Lagi pun duduk di hotel kemudahan dobi atau untuk basuh pakaian sendiri disediakan. Alangkah baiknya jika semua hotel yang disewa oleh TH menyediakan perkhidmatan mesin basuh secara token. 

1 comment:

Ayu Mohamad said...

Cerita lah lagi. Dengan lebih detail persiapan sebelum dan juga masa nak berlepas serta apa berlaku selepas sampai