07 November 2011

Solat Sunat Raya Aidil Adha 2011

Walaupun tak semua ahli keluarga saya dapat meraikan hari bahagia ini bersama-sama, namun bagi kami yang telah ada di kampong siap sedia untuk menyertai umat Islam yang lain untuk menunaikan Solat Sunat Aidil Adha tahun ini. Yang sebenarnya memang kurang meriah bila ada ahli keluarga yang tidak dapat pulang kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, insyallah tahun hadapan jika dipanjangkan umur mungkin kami dapat bertemu kembali. Kelihatan Amir (anak Ain) tidak ketinggalan menyertai kami.

Suasana di luar Masjid, menjadi meriah dengan kumjungan dari pelbagai peringkat penduduk di Felda Tun Abdul Ghaffar Bukit Senggeh. Saya suka dengan suasana begini, walaupun saya tidak mengenali semua penduduk di sini, tetapi dengan bersalaman dengan mereka yang sempat ditemui sudah memadai untuk saya. Maklumlah kalau tidak kerana ibadat ini sukar sekali untuk bersua muka.

Sempat juga saya dan adik-adik saya bergambar di dalam Masjid selepas selesai Solat Sunat Aidil Adha. Walaupun datang lewat, nasib kami sangat baik kerana masih ada beberapa lagi tempat kosong untuk kami. Walaupun barisan kami di barisan kedua akhir, namun kami tetap bersyukur kerana kami masih lagi dapat bersolat di dalam bangunan Masjid. Saya dan adik saya Ain.

Tidak seperti di bahagian tempat lelaki di mana mereka terpaksa bersolat di tepi tangga dan di halaman masjid. Beginilah keadaannya setiap kali menyambut Hari Raya Aidil Fitri maupun Aidil Adha, anak-anak yang bekerja di luar kampong akan balik beraya bersama keluarga, jadi tidak hairanlah kalau masjid penuh. Foto atas saya bersama dengan adik ipar saya Shima (isteri Adnan) selepas habis solat Aidil Adha.

Sempat berkenalan dengan 2 gadis sunti ni di Masjid, umur mereka lebih kurang dalam lingkungan 6 dan 10 tahun, rasanya anak orang kampong ini juga. Mulanya mereka agak malu-malu tetapi akhirnya menjadi peramah, amboi manisnya senyuman mereka, senyuman suci kanak-kanak yang bersih jauh dari dosa - Salam pengenalan dan Selamat Hari Raya.

Balik Kampong dengan Kesesakan Jalan Raya

Hari Raya Aidil Adha tahun ini disambut pada Hari Ahad bersamaan dengan 6 November 2011. Pada hari Jumaat saya masih lagi bertugas dan cadangan untuk bertolak balik ke kampong pada petang itu terpaksa ditunda pada pagi hari esoknya kerana saya dikhabarkan bahawa kesesakan yang melampau akan berlaku. Nasib saya agak baik kerana selepas berbincang dengan mak, mak menasihati supaya saya bertolak balik hari Sabtu sahaja. Lebih kurang jam 10.00 pagi saya bertolak dari rumah ke selatan dan saya senang hati kerana semua laluan yang saya ikut, jalannya ok sahaja. Tetapi sebaik sahaja tiba berhampiran Bangi, lebuhraya dah mula sangkut. Wah makin lama makin perlahan semua kenderaan. Apabila saya menoleh ke kiri dah banyak kereta mula potong Q, wah saya dah mula panas darah apabila selepas Hentian Nilai banyak kereta yang nak menyempil masuk.

Kesesakan bertambah reda sebaik sahaja menghampiri Seremban dan selepas limpas laluan exit ke PD, lebuhraya dah ok. Walaupun kesesakan tidak sehebat hari Jumaat, tetapi ianya menyebabkan saya lewat tiba di kampong. Biasanya saya hanya mengambil masa paling lama2 jam sahaja, tetapi kali ini 3 jam.

04 November 2011

AMALAN AYAT KURSI


Saya meminta kebenaran untuk postkan ilmu ini daripada sahabat 1 Malaysia iaitu Raidah Hanisa Ruslan. Pertamanya terima kasih kerana dapat share tulisan beliau.

1) Baca pada saat keluar rumah, 70000 malaikat akan menjagamu dari semua sisi
2) Baca saat masuk rumah, kemiskinan tdk akan memasuki rumahmu
3) Baca setelah berwudhu, Derajatmu akan dinaikkan 70 tingkat
4) Baca pada saat tidur, malaikat akan menjagamu sepanjang malam ...
5) Baca setelah solat, maka jarak antara kamu dan surga hanyalah kematian.

SAMPAIKAN KEPADA ORANG LAIN,MAKA INI ADALAH SEDEKAH JARIAH. DAN PADA SETIAP ORANG YANG MENGAMALKAN, KAMU AKAN IKUT MENDAPT PAHALANYA SAMPAI HARI KIAMAT

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Assalamualaikum semua sahabat handai saya, di kesempatan ini saya nak ucapkan kepada semuanya selamat menyambut hari raya korban tahun ini. Pengorbanan merupakan suatu amalan yang sangat mulia di sisi Allah SAW dan pengertian korban bukan sahaja kita korbankan haiwan di atas tu tetapi juga pengorbanan yang lain-lainnya. Saya mohon ampun maaf pada kesilapan semasa kita bersama. Ingatan kepada yang memandu - hati-hati dan bersabar selalu.

Kad Raya Yang Kreatif

Saya nak berkongsi dengan kawan-kawan tentang kreativiti anak saudara saya. Boleh dikatakan pada setiap hari raya mereka akan menghantar kad-kad raya kepada saya.

Yang terujanya adalah apabila mereka mereka bentuk sendiri kad ucapan hari raya tersebut siap dengan ucapannya sekali.

Beberapa kad yang dipaparkan untuk tatapan bersama



03 November 2011

Nama Yang Ku tinggalkan di HATTM

Sebelum meninggalkan hospital ini sempat saya merakamkan tanda nama saya pada pintu pejabat saya. Pintu pejabat yang sering diketuk oleh rakan-rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang berhajat untuk mendapatkan nasihat atau mencurahkan isi hati masing-masing. Pintu ini nampaknya akan terus tertutup selagi Pegawai Tadbir Awam (PTA) yang baru tidak melaporkan diri.

Ini pulak adalah tanda nama saya dalam kumpulan pengurusan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, mungkin kini nama saya telah dicabut keluar kerana saya sudah tiada di hospital dan kini ianya hanya mampu menghiasi blog ini sahaja. Bagi saya ianya hanya tinggal kenangan sahaja, Dan tanda nama ini menunjukkan bahawa saya pernah memberikan perkhidmatan di hospital ini, walau pun mungkin jasaku tidak seberapa. Kini saya bersedia untuk menaburkan jasa saya di pejabat baru. Umpama kata pepatah yang saya reka sendiri "di mana bertapak, maka di situlah kita berumah" maknanya di mana kita di tempatkan atau berada maka di situlah kita menetap dan berusaha. Ok tak perumpamaan saya.

Dah Mula Sibuk

Mulai semalam saya dah mula sibuk sikit di pejabat baru. Pagi-pagi dah melawat kawasan khasnya nak melihat tentang kebersihannya. Kawasan Jabatan ini tidak besar sangat dan dalam tempoh setengah jam saya dah siap kerja-kerja pemantauan. Tugas di sini kebanyakannya adalah kerja house keeping sahaja. Selain dari kebersihan kawasan dan bangunan, saya juga terlibat dengan pelbagai senggaraan bangunan dan peralatan. Yang bagusnya staf sedia ada di sini sangat maher.

Nampaknya bolehlah saya menguruskan sikit badan kalau 2 kali seminggu saya lakukan pemantauan sebegini.

01 November 2011

Percutian Keluarga Hong Kong 2011

Apabila semua keluarga saya selamat sampai di tanah air pada 28 Oktober 2011 yang lalu saya mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Melihat foto-foto mereka membuatkan saya nak bercuti ke sana pulak. Mereka bercuti lebih kurang 6 hari dan banyak tempat yang mereka kunjungi. Antaranya kota-kota lama, shopping dan yang paling menyeronokkan anak-anak apabila mereka melawat Disneyland.

Saya pun bercadang untuk bercuti ke sana nanti, tetapi tak tau la bila nak berlepasnya. Insyallah adik ipar saya yang juga menyertai percutian ini, kalau diizinkan Allah juga akan bersama saya lagi kerana mengikutnya banyak lagi tempat yang belum dilawati. Sekarang ini syarikat penerbangan negara telah dan akan mengadakan tambang promosi jadi masalah tambang mungkin tidak menjadi masalah, mengikut adik saya, makanan halal dan hotel agak mahal.