02 March 2014

ALLAHYARHAM ROSLI BIN DHOBY 64 TAHUN DALAM KENANGAN

Hari ini 2hb Mac 2014 genaplah 64 tahun pemergian seorang negarawan dan pejuang revolusi kemerdekaan Bangsa Sarawak iaitu Allahyarham Rosli bin Dhoby. Namanya mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sejarah ketokohannya tercatit dimana-mana sebagai antara pelopor revolusi kemerdekaan Negara Sarawak dibawah cengkaman Kerajaan British Borneo suatu waktu dahulu. Sebagai memberi penghormatan keatas perginya negarawan Bangsa Sarawak ini, Borneo Oracle akan membuat artikel istimewa pada hari ini dengan tajuk Allahyarham Rosly bin Dhoby 64 tahun Dalam Kenangan.

Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan. Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British Borneo mati di tali gantung pada 2hb Mac 1950. Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Borneo kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau “badek” di Sibu pada 3 Disember, 1949.

Anak muda Bangsa Sarawak yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). Daripada GPMS inilah terbentuknya Rukun 13 yang ditubuhkan bagi menentang tindakan Rajah Ketiga Negara Sarawak iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang berpantang arang mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial British di London selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Ini kerana selepas peperangan itu, Sir Charles Vyner Brooke dikatakan sudah bosan memerintah dan ditambah lagi peperangan itu telah menyebabkan kerugian yang banyak akibat kemusnahan perang pada Negara Sarawak. Sir Charles Vyner Brooke yang sememangnya terkenal sebagai pemerintah Negara Sarawak yang gemar bersosial telah dikatakan menyerahkan Negara Sarawak kepada Kerajaan Mahkota British dengan sedikit imbuhan. Tindakan ini sebenarnya telah menyebabkan kemarahan dan bantahan daripada Bangsa Sarawak pada waktu itu kerana Sir Charles Vyner Brooke telah memungkiri janji iaitu untuk menyerahkan Negara Sarawak kepada pemerintahan Bangsa Sarawak sendiri. Sejajar dengan itu maka terjadilah apa yang dipanggil Anti-Penyerahan Negara Sarawak 1946.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu salah satu pembesar Melayu Sarawak yang tersohor di zaman Sir Charles Vyner Brooke memerintah Sarawak Kingdom. Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka. Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala Gabenor yang baru dilantik itu membuat kunjungan kerja ke Sibu pada Disember 3, 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang dipanggil Badik. Rosli dan Morshidi Sidik akhirnya ditangkap oleh anggota polis British Borneo pada waktu kejadian manakala rakan-rakannya yang lain telah diburu oleh pihak polis besar-besaran selepas kejadian tersebut. Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Gabenor Sir Duncan akhrinya meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morshidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching. Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan di dalam kawasan penjara tersebut. Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor yang juga suatu waktu dahulu antara sahabat mereka di Sibu, Sarawak.

Inilah sekelumit ruang informasi tentang Perjuangan Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 daripada Borneo Oracle untuk sumber perkongsian kita Bangsa Sarawak sekarang. Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 telah mengwujudkan satu fenomena kearah perjuangan anti-penyerahan kepada Kerajaan British Borneo pada waktu itu. Walaupun Allahyarham Rosli telah meninggalkan kita namun semangat juangnya tetap menjadi pembakar semangat kepada generasi Bangsa Sarawak di dalam menidakkan kebatilan yang ada sekarang. Al-fatihah untuk Almarhum Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Amin.

Borneo Oracle love Rosli Dhoby

Sumber: Borneo Oracle

No comments: