KALAU kucing anda tiba-tiba tidak boleh mengawal pembuangan air besar ketika baring atau najis meleleh, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada haiwan kesayangan anda itu.
Begitu juga jika kucing anda terbersin atau batuk sambil terpancut najis, baru mengais tanah, najis terkeluar dan ketika berjalan najis menitis di lantai, itulah tanda-tanda haiwan tersebut mengalami cirit-birit.
Cirit-birit berpunca daripada kegagalan sistem penghadaman yang mengakibatkan kucing gagal mengawal sistem perkumuhan.
Punca-punca kucing mengalami cirit-cirit ialah perubahan mendadak pada menu harian, susu rosak, susu manusia, pemakanan yang tidak sesuai, makanan basi atau tamat tempoh. Jangkitan parvovirus felin (FPV) atau feline infectious peritonitis (FIP) juga mengakibatkan kucing boleh mengalami cirit-birit.
Selain itu, gumpalan bulu dalam badan, alahan bakteria, jangkitan endoparasit seperti cacing gelang, sistem perkumuhan bermasalah, jangkitan kuman pada hati dan buah pinggang, kanser atau ketumbuhan dalam usus, tindak balas perubatan, tiroid serta keradangan dalam kolon.
Pemilik kucing perlu mengetahui simptom-simptom cirit-birit. Antaranya, kembung perut, terdapat darah dalam cairan najis kucing, meneran dan menghasilkan bunyi letusan sewaktu buang air besar.
Selain itu, kucing kelihatan lesu, dehidrasi, demam, muntah-muntah, hilang selera makan, penurunan berat badan yang mendadak dan kerap membuang air besar.
Sekiranya najis yang keluar berwarna kehitaman atau bersama darah segar, kemungkinan berlaku pendarahan dalam perut. Anda dinasihatkan membawa segera kucing tersebut ke klinik veterinar untuk pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya.
Jika masalah tersebut berlaku pada waktu malam atau masa kecemasan dan sukar mendapatkan rawatan di klinik veterinar, puasakan si comel dan bekalkan dengan air bersih bertapis dalam kuantiti yang banyak.
Jangan beri sebarang makanan kecuali dada ayam yang direbus tanpa sebarang rempah mahupun garam pada sebelah pagi dan malam sahaja.
Air bersih
Bekalan air bersih itu perlu sentiasa ada kerana cirit-birit mengakibatkan kehilangan cecair dalam badan pada kuantiti yang banyak.
Sekiranya, air yang dibekalkan tidak cukup, kucing akan lemah dan dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan kucing tersebut.
Keesokan harinya, jika cirit-birit masih berterusan, anda dinasihatkan membawa si comel ke klinik untuk tindakan dan rawatan daripada veterinar.
Di klinik, veterinar akan bertanyakan sejarah kesihatan kucing di rumah, status vaksinasi, pemakanan dan disusuli pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan najis juga mungkin dilakukan bagi mengenal pasti atau mengesahkan punca jangkitan terutamanya jika veterinar mengesyaki ia berpunca daripada virus. Radiograf, ultrasound atau pemeriksaan darah juga mungkin dibuat jika masalah tersebut serius.
Dalam pada itu, tidak semua kucing berisiko mengalami cirit-birit. Bagaimanapun, ia masih bergantung pada penjagaan, pemakanan atau pengurusan yang anda amalkan.
Kucing berbulu panjang sering mengalami cirit-birit disebabkan masalah bulu yang berkumpul di dalam usus. Begitu juga, kucing liar mudah dijangkiti cirit-birit akibat jangkitan cacing atau virus berpunca daripada memakan sisa makanan dari tong sampah.
Sumber: Kosmo Online - Varia
No comments:
Post a Comment