Hari ini (18 Ogos 2010) adalah hari ke16 saya bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT TM), Wangsa Maju. Di opis, sahabat-sahabat saya mencetuskan cerita tentang benda-benda ghaib yang ada di hospital ini. Saya sedia maklum bahawa bumi Allah ini bukan sahaja didiami oleh manusia, sebaliknya juga didiami oleh makhluk Allah yang lain seperti haiwan, iblis beserta anak pinaknya syaitan dan juga jin. Iblis, syaitan dan Jin dijadikan oleh Allah dari api dan berjisim halus, manakala manusia dijadikan daripada tanah dan dalam bentuk kasar yang boleh dilihat dan disentuh.
Selaras dengan ajaran Islam yang murni ini, saya memang percaya adanya makhluk lagi selain dari manusia yang dijadikan oleh Allah Taalah. Dalam Al'Quran jelas penerangan dan banyak kali pula Allah menyebut tentang malaikat, iblis dan syaitan dan jin. Makhluk yang suka mengacau dan mengganggu manusia biasanya terdiri daripada jin, manakala iblis dan syaitan adalah makhluk menggoda manusia untuk jauh dari ajaran agama Islam. Walaupun dari satu sudut seperti jin ini mempunyai kelebihan tertentu (seperti boleh ke sesuatu tempat dengan terbang dan boleh melihat manusia tanpa manusia dapat melihat mereka dengan mata kasar). Tapi Allah sendiri telah menjelaskan bahawa kejadian manusia adalah kejadian yang paling elok sekali. Dengan janji Allah ini, mengapa manusia perlu merasa takut dan bimbang kepada makhluk-makhluk seperti iblis, syaitan dan jin.
Namun begitu manusia perlu tahu bagaimana untuk menepis rayuan dan ancaman dari makhluk-makhluk ini. Dalam sejarah perkembangan Islam yang dibawa oleh kesemua Nabi dan Rasul, ada panduan-panduan yang menunjukkan bagaimana mereka berhadapan dengan makhluk ini. Kita kena bina perisai yang kuat dan kukuh, jangan biarkan makhluk-makhluk tersebut dapat menguasai kita. Sesungguhnya sekiranya kita sangat yakin dengan janji Allah bahawa kita lebih sempurna, maka makhluk lain akan segan dan takut kepada kita. Yang sebenarnya mereka juga takut kepada kita. Dia takut dan kita juga takut - siapa yang lebih berani secara langsung dapat menguasai lawannya. jangan biarkan kita kalah - kalau bertemu dengan mereka katakan kepada mereka "kamu tak malu ke dengan kejadian kamu yang hodoh dan hina" pasti dia cabut lari. Walallahualam.
No comments:
Post a Comment