29 November 2016

Kesedihan Semalam

Allahhuakbar, semalam selepas magrib saya kehilangan seekor kucing yang baru saya cuba selamatkan. Oyen nama yang saya berikan kepada dia. Saya ambil Oyen kerana sangat kasihankan dia yang sedang menderita sakit. Dia susah nak makan dan kurus serta tidak berdaya untuk berjalan.

Badan, telinga kanan, atas mata kanan dan hidung dia cedera dan berkudis, seperti lama tidak dirawat.

Semasa di tempat dia dijumpai, rakan sekerja saya belikan ayam goreng tetapi Oyen tidak mampu mengigit dan ayam tersebut terlepas dari mulut dia. itulah sebabnya saya ambil dia takut dia tak makan

Yang sebenarnya Oyen kucing yang berbulu tebal dan sederhana panjang, tetapi disebabkan oleh kesakitan yang ditanggung dia nampak kotor dan sedikit berbau.

Saya bawa dia balik pada 9 November 2016, mulai tarik itu saya dan mak cuba rawat dia sebaik mungkin. Rupanya Oyen selsema, sakit mulut, luka-luka dan sukar bernafas.

Nasib baik ubat batuk dan selsema kucing-kucing saya masih berbaki dan saya berikan kepada Oyen dalam 2 hari dia dah boleh makan kibbles dan minum.

Oyen dah boleh berjalan dan minta diusap. Disebabkan dia sakit saya berikan tumpuan kepada dia, setiap kali balik saya akan hadap dia dulu, dan sebelum tidur bercakap dan berikan dia ubat serta sapukan ubat luka.

Yang sebenarnya kesihatan Oyen dah mula baik, luka dah 90% sembuh, saya dah mandikan dia dan dia dah bersih.

Tiba-tiba pada malam Jumaat yang lepas (25 November 2016) sakit dia menjadi teruk, hidung dia tersumbat semula dan nafas dia kuat. Saya tidak boleh tidur mengadap dia.

Dan semalam saya balik lewat, sampai rumah dah hampir jam 7 malam. Saya nampak Oyen tunggu depan grill depan dan bukan tempat selalu dia tunggu saya. Selepas solat asar saya terus dukung dia untuk berikan air minum dan ubat. Tiba-tiba dia kejang dan tersentap. Terkejut saya tengok dia dan masa tu juga dia terus menghembuskan nafas terakhir dia.

Oyen tunggu saya balik untuk ucapkan selamat tinggal. Pergilah sayang kepada pencipta kita dan nanti jumpa mommy di syurga.

No comments: